Assalamualaikum

Kemahiran menerbitkan sebarang maklumat dalam bentuk media cetak merupakan pengalaman yang amat menyeronokkan. Malah kerja-kerja penerbitan akan menjadikan anda seorang yang kritis, teliti dan berfungsi sebagai pendakwah yang kreatif dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah yang dirancang menggunakan kepelbagaian saluran yang sesuai. Oleh itu, kursus Media Cetak Dakwah ini merupakan kursus yang bertujuan untuk memberi kemahiran kepada pelajar dengan asas-asas penerbitan media cetak seperti majalah, buku, risalah, buletin, pamplet, poskad, poster dan sebagainya supaya pelajar dapat memanfaatkan kemahiran ini untuk keberkesanan dakwah itu sendiri.
Selamat belajar!!

Friday, December 11, 2009

KULIAH 3 PENERBITAN MEDIA CETAK DAKWAH

MAUDU’ AD-DA’WAH DALAM PENERBITAN

Surah al-Syu’araa ayat 226 – 227 yang bermaksud,
dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(nya)? kecuali orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.”

Berdasarkan surah ini, pendekatan dan tumpuan dalam proses komunikasi dakwah ialah isi kandungan atau mesej dakwah atau juga disebut maudu’ al-da’wah menjadi keutamaan.

Ciri-ciri penerbitan dakwah
-Kebenaran: Surah al-Ahzab ayat 70 ”Hai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar”.
- Mencakupi keseluruhan Islam
- Memantapkan akidah, melaksanakan tanggungjawab syariah dan menghayati akhlak yang luhur
-mencapai matlamat utama membina kesempurnaan hubungan antara manusia (khalqi) dengan penciptanya (khaliq)
- Dari sumber Islam
- Jauh dari sebarang unsur penyelewengan
- Kerangka berfikir secara Islam (Dawabir al-Fikri al-Islami)- aspek persoalan, metod, akhlak dan keinsafan sebagai khalifah
- Menyeru manusia kepada kebaikan dan menghindarkan fitnah- Surah Yunus ayat 30 “Pada masa itu setiap diri akan mengetahui perkara yang telah dikerjakan dan mereka akan kembali kepada Allah, Tuhan mereka yang sebenarnya: dan akan hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.
- Penerokaan ilmu-ilmu lain seperti kebudayaan, masyarakat, etnik, kaunseling, psikologi, geografi, kepimpinan, komunikasi dan sebagainya

JADUAL MAUDU’ AD-DA’WAH

(rujuk nota yg diberi)


USLUB AD- DAKWAH DALAM PENERBITAN
Surah al-Isra’ ayat 53 “...dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik..”
Allah SWT telah mencipta bahasa dengan penuh keindahan dan kebaikan. Oleh itu, Islam amat menitikberatkan penggunaan perkataan atau bahasa yang baik ketika berkomunikasi terutama kepada sasaran (mad’u).

Ciri-ciri Uslub ad-da’wah dalam penerbitan
Surah al-Nahl ayat 125 “Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhan kamu dengan hikmah kebijaksanaan (al-hikmah) dan nasihat yang baik (al-maw’izah al-hasanah) dan berbahaslah (al-mujadalah) dengan mereka dengan cara yang terbaik
Melalui surah ini, terdapat tiga uslub dakwah yang utama bagi tujuan mengajak khalayak agar menerima Islam iaitu dengan cara al-hikmah, al-maw’izah al-hasanah dan secara al-mujadalah.

Al-Hikmah
Al-hikmah merujuk kepada makna al-adl (keadilan), al-ilm (ilmu), al-hilm (lemah-lembut), al-nubuwwah (kenabian), al-Quran
Al-adl akan menegah seseorang melakukan kezaliman.
Al-hilm (lemah-lembut) menegah seseorang daripada sifat marah
Al-ilm (berilmu) mencegah seseorang dari kejahilan.
Sifat al-nubuwwah (kenabian) pula mencegah kaum manusia daripada menyembah selain Allah SWT dan melakukan kemungkaran serta perlu bersifat benar, amanah, cerdik dan tabligh
al-Quran dijadikan sebagai dalil yang kuat dan tepat untuk menerangkan kebenaran dan menghilangkan segala keraguan
Al-hikmah juga merujuk kepada cara terbaik dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya, menepati kebenaran dari aspek ilmu dan amal, teliti dan halus, betul dan benar.
Hamka (1983) menerangkan al-hikmah sebagai meletakkan sesuatu (ajaran/ajakan) secara bijaksana , akal budi yang mulia, dada yang lapang dan hati yang bersih untuk menarik perhatian orang terhadap agama atau kepercayaan kepada Allah.
Justeru itu, setiap perkataan yang bertujuan untuk menasihati dan menegah atau menyeru ke arah kemuliaan dan pencegahan daripada kejahatan perlu dilakukan secara hikmah.
Menurut Ali al-Murshid (1989), al-hikmah bererti lembut, rahmat, kasih sayang, perkataan yang baik dan tenang, juga mengandungi perkataan yang tegas dan keras yang bertujuan untuk memujuk dan mempengaruhi khalayaknya.
Uslub bil hikmah atau bijaksana tersebut merujuk kepada kesesuaian sesuatu isu dengan suasana semasa.
Tegahan atau larangan yang digunakan bertujuan untuk menghalang sesuatu penyakit (kemungkaran) itu merebak sehingga memudaratkan masyarakat.

Maw’izah al-Hasanah
Al-Maw’izah dalam bahasa Arab berasal dari perkataan al-waz., bererti memberi nasihat dan peringatan terhadap akibat yang akan berlaku apabila melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara
Ibn Manzur menjelaskan maksud al-maw’izah sebagai pengajaran, nasihat dan ajaran.
Al-Faizruzabadi (1987) menjelaskan sebagai perlakuan khutbah, nasihat, desakan dan teguran.
Menyampaikan mesej dakwah menggunakan nasihat yang baik akan meyakinkan sasarannya tentang sesuatu perkara itu dengan cara yang benar serta menjauhi maksiat.
Al Bayanuni (2001) menjelaskan bentuk kata-kata nasihat ialah kata-kata yang berterus terang, tetapi lembut dan halus, penjelasan yang lembut dan difahami, kiasan, penceritaan, jenaka, mengemukakan nikmat yang membawa kesyukuran, penjelasan tentang pujian dan celaan dari Allah, rangsangan baik, balasan kejahatan, balasan kemenangan dan penerangan

Al-Mujadalah
Uslub al-mujadalah memberi maksud perdebatan yang baik
Ibn Kathir - berdiskusi dan berhujah sebagai jalan mencari kebenaran.
Al-Mujadalah menurut al-Quran dan as-Sunnah ialah Jadal, iaitu menggunakan alasan dan dalil yang serba lengkap dan benar hingga dapat diterima oleh hati manusia.
Ia juga merupakan panduan untuk memberikan jalan kepada orang kafir dan orang yang menyimpang dari landasan untuk berfikir tentang kebenarannya
Ia teknik terbaik dalam perjalanan dakwah kerana terkandung keluasan ilmu Islam untuk dijelaskan dan sebagai menguji kebenaran Islam
Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 33 ”Dialah yang mengutuskan Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang musyrik tidak menyukainya.”
Kebolehan bermujadalah berlandaskan ilmu yang haq memerlukan pengalaman yang mantap untuk berhujah
Hujahan yang kuat dan jitu diperlukan untuk mematahkan pandangan dan menjawab persoalan pihak lawan/ orang bukan Islam/ pendakyah

No comments:

Post a Comment

Post a Comment